CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, October 10, 2006

kisah sensasi


Bab 1

"Woi Black!"

Alamak nampak jugak dia. Punyalah susah payah aku menyeronot dibalik orang ramai, di dalam kegelapan malam dengan dibantu kegelapan kulitku, dia perasan juga. Dan seperti diduga diberikan sekeping sampul berwarna putih untukku. Ops, maaf, bukan untukku. Nama yang tertera diatas sampul itu Nurhayati. Yang pastinya aku bukanlah insan yang bernama Nurhayati. Lagipun nama Nurhayati memang bukan sahaja sedikit hatta sebesar kuman pun tidak sesuai dengan aku, seorang lelaki yang hanya sesuai dengan panggilan Black.

"O.. nak lari ye?" soalan yang membuatkan aku hanya mampu terenyeh kalau dalam bahasa utaranya.

"Black, kau tolong la adjust lebih kurang. Kau tolong la pujuk dia sampai dia nak jumpa aku one by one. "

Inilah pertolongan yang amat aku harap-harapkan tidak akan diminta oleh mamat seorang ni. Menyuruh aku menjadi posmen hantarkan kad sudahlah satu hal, ini nak minta pertolongan aku mengayat awek untuk dia pula.

Seumur hidup aku tak pernah dalam sejarah dunia atau sejarah Malaysia sekali pun aku cuba untuk mengorat untuk diri sendiri apatah lagi untuk diri orang lain. Bukannya aku tak pernah terberkenan dengan mana-mana awek, kalau dikira dah beribu-ribu kali aku terberkenan dengan anak dara orang, tapi yang paling aku tak berkenan untuk terima ialah kenyataan bahawa beribu-ribu kali itulah anak-anak dara itu tak terberkenan dengan aku. Sebelum aku ditolak setelah mengorat lebih baik aku menolak untuk mengorat.

Juga amat menghairankan aku sekarang ialah, pertolongan untuk mengorat diminta oleh mamat nan seorang ni, Fitri namanya. Kalau nak dibandingkan kulit aku dan dia, mesti lah aku yang menang dari segi siapa yang lebih hitam dan kalau dari segi rupa masih aku yang menang jika dikira dari aspek negatifnya. Yang aku pasti menang secara positifnya ialah kenyataan aku lebih manis dipandang. Itupun mak aku yang kata semasa aku buat kali pertama dan terakhir memakai baju melayu lengkap bersampin untuk bersembahyang hari raya sepuluh tahun yang lalu. Lebih menghairankan lagi pertolongan ini diminta oleh seorang yang boleh dianggap pakar dalam bidang urat-mengurat dan mempunyai rekod kerjaya yang cemerlang sebelum ini. Sebelum dia kenal Nurhayati.

"Oklah aku cuba cakap, tapi hasilnya aku tak tau, yang aku tau malam esok aku makan free".

Jawapan yang aku berikan untuk memuaskan hati kedua-dua pihak, aku dan Fitri. Jawapan yang membuatkan Fitri tersenyum lebar, lebih lebar dari senyuman Demang Lebar Daun. Aku pun tumpang tersenyum mengenangkan makan malam free esok. Tapi tidaklah lebar sangat, sekadar menampakkan barisan gigi yang putih umpama maskot Darkie sebelum ditukar namanya kepada Darlie.

Kalau bukan Fitri itu kawan teramat rapat aku, tak hendaknya aku nak buat kerja-kerja tak berfaedah seperti ini. Kalau setakat kawan rapat sahaja tanpa teramat yang meminta tolong aku untuk benda-benda macam ini, mahunya sampul di tangan aku ini terlepas masuk ke dalam mulutnya yang tersenyum lebar. Nak tahu betapa teramat rapatnya? Fitri yang aku kenal sejak dari sekolah menengah lagi sering berkongsi susah senang dengan aku. Sama-sama dirotan kerana keluar asrama untuk menonton gigs underground dan sama-sama digantung sekolah kerana membelasah budak junior juga sama-sama berkongsi habuan memecah masuk kantin sekolah. Tapi itu dulu. Sekarang ini kami sekadar sama-sama berkongsi universiti tanpa aktiviti-aktiviti yang tidak sihat. Dan kami juga masih berkongsi band dimana dia menjadi vokalis dan aku sekadar dibelakangnya sebagai bassist.

Sambil berjalan menuju ke bilik akumasih berfikir. Macam manalah aku nak buat besok. Dalam banyak-banyak makhluk di alam semesta ini dengan Nurhayatilah, atau nama pendeknya Yati untuk lebih senang aku tulis, aku paling tidak selesa untuk berbual. Suruhlah aku bercakap dengan sesiapa sahaja atau binatang atau benda apapun pun aku senang sahaja berbual. Tetapi dengan Yati, isk susahlah. Nak tahu sebab apa susah, itu nanti aku bagitau. Nak tahu sebab apa orang sehensem Fitri pun terpaksa menggunakan taktik lama dan posmen untuk mengorat, itupun nantilah aku beritahu. Buat masa sekarang aku nak tidur. Semoga esok hari yang bertuah untuk aku. Semoga malam ini aku bermimpi indah. Mimpi dapat berkonsert bersama-sama Sepultura dan Morbid Angel, antara kumpulan idolaku yang kini telah lebur dimamah usia