CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, October 16, 2006

Bab 3

Mata nurse yang langsung tidak ayu itulah yang mula-mula ditangkap setelah otakku kembali berfungsi. Aku lihat persekitaran. Sah aku di wad pusat kesihatan universiti. Melihatkan ramainya kawan-kawanku di dalam wad tersenyum aku hanya mampu tersengih kelat. Muka pertama yang mata aku dapat tangkap ialah Fitri yang senyumannya masih selebar Demang Lebar Daun. Dalam hati aku menyumpah-nyumpah. Ini semua sebab dia. Sebab dialah aku terlantar di katil wad pusat kesihatan universiti dan yang tidak dapat diterima oleh akal aku yang waras ini, sebab dialah aku pitam di depan sekumpulan perempuan dan yang paling tak dapat diterima ialah aku pitam di depan Yati!

Dari raut wajah Fitri dan senyumannya yang penuh unsur kejahatan, aku pasti tentang satu benda. Aku pasti dia nak gelakkan aku. Bak kata novelis jiwang, aku pasrah!. Dah aku yang gatal terpitam di depan perempuan, terima sajalah.

"Harap muka saja brutal, cakap dengan perempuan pun boleh pengsan." Dah agak dah itulah ayat yang akan keluar dari mulut Fitri. Kalau boleh nak saja aku sumbat bantal bercop Hak Kerajaan ini ke dalam mulutnya.

"Habis tu aku punya kad kau dah bagi ke belum?" Ceh, apa punya kawan. Bukannya nak tanya aku dah sihat ke belum, dah makan ke tidak, ini tanya tentang kad. Apa nak buat, macam inilah perangai kawan "teramat" rapat aku.

Sudah tiga hari aku terlantar di wad. Kawan-kawanku yang datang melawat silih berganti semuanya tanpa wajah simpati. Semuanya datang dan gelakkan aku beramai-ramai. Apa nak buat dah nasib badan. Dari merekalah aku tahu tentang satu topik hangat dikalangan rakan-rakanku. Apa lagi kalau bukan bab aku pitam depan perempuan. Sekelip mata aku popular. Macam baru menang Akademi Fantasialah pulak. Black, yang dulunya tidak ada orang kenal sekarang dah popular. Mungkin lepas aku keluar dari wad aku boleh demand sikit dengan promoter band aku. Almaklumlah orang dah glamour. Tapi glamour ni langsung tak berfaedah. Muka ini aku rasakan seperti tembok yang memisahkan Semenanjung Gaza dan Israel. Tembok yang tidak dapat ditembusi pejuang-pejuang berani mati.

Cuma satu ayat dari Mat Pearl sahaja yang meredakan sedikit ketebalan tembok yang berada di muka aku. Ayat yang menyebabkan hidung aku kembang tiba-tiba. Kembang menjadi lebih besar dari kepala Mat Pearl sendiri. Ayat yang berbunyi : "Syoklah kau, pitam dalam pangkuan Yati." Kalau aku tahu yang aku pitam dalam pangkuan Yati, hendaknya aku pitam hari-hari. Asal jumpa Yati saja aku pitam. Tapi sayang, aku tak terasa pun jari-jemari lembut Yati memangku kepalaku. Kalau aku tahu, mandi tak basuh kepalalah jawabnya.

Hari terakhir aku di wad pusat kesihatan aku mendapat tahu satu kebenaran. Aku pengsan bukan disebabkan perempuan. Bukan sebab bebanan yang tidak tertanggung akibat membawa kad Fitri seperti yang dialami oleh Frodo Baggins dengan cincin di jarinya. Bukan juga disebabkan lirikan mata Yati yang ayu. Kata-kata doktor berulang kali bermain di fikiranku.

"Shahril, awak ada masalah sikit dengan buah pinggang. Saya nak awak datang balik minggu depan untuk pemeriksaan lanjut"

Kata-kata itu memang memeranjatkan. Aku hanya mampu menelan air liur. Aku tergamam seketika.