CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, October 11, 2006

Bab 2

Pagi ini aku bangun awal. Sebenarnya aku tak berapa lena tidur semalam. Ini semua angkara Fitri dan kadnya. Nasib baiklah semua ini tidak disedari oleh rakan sebilikku. Kalau tidak mesti mampus aku digelakkannya. Ayat yang aku pasti keluar dari mulut laser rakan sebilikku semestinya begini : "Harap baju saja yang brutal, penuh tengkorak, nak cakap dengan perempuan pun dah kecut." Memang selalu dia gelakkan aku dengan baju t-shirt kegemaranku, baju yang penuh lukisan dan tulisan yang tidak menyenangkan mata yang melihat.

Ops! Terlupa aku kenalkan. Rakan sebilikku, nama glamernya, Mat Pearl, budak nogori. Nama glamernya tu aku yang berikan, sebab minat betul dia dengan lagu satu kumpulan rock jiwang karat, Pearl nama kumpulan tu. Aku dan Mat Pearl selalu tak setuju angin kata orang tua-tua. Sebabnya, genre muzik yang kami minati amat berlainan sekali. Aku dengan tape Disharmonic Orchestra dan Blastpherionku manakala dia dengan tape Scan dan Ukay’s nya. Tapi kami tetap rapat. Sudahlah sikit-sikit cerita tentang mamat nogori ni. Bukannya aku nak cerita pasal dia. Aku nak cerita tentang aku, Yati dan Fitri. Tapi selingan tu ada lah jugak terselit nama mamat nogori nan sebatang ini.

Pagi ini aku rasakan hari paling susah aku nak ke kelas. Selalunya senang saja aku nak pilih baju yang hendak dipakai, tapi hari ini berlainan. Pakaianku serba tak kena. Seluar dan baju siap digosok sejak dari semalam, waktu tengah malam, waktu aku tak boleh lena. Aku pilih tie dari koleksi Mat Pearl. Cuma dia sahaja aku rasakan di universiti ini mempunyai koleksi tie yang melebihi daripada koleksi The Tie Shop. Kerana falsafah yang dia pegang, "biar tak hensem, janji tie matching dengan baju." Hari ini pakaianku paling matching dalam kriteria Mat Pearl aku rasakan. Baju kemeja tangan pendek belang-belang yang baru aku beli dari kedai bundle, seluar slack hitam dan tie hitam polka dot. Kasut, bak kata Mat Pearl, tak dapek den nak nolong, kasut kanvas hitam. Satu-satunya kasut yang aku ada.

Memang awal hari ini aku ke kelas. Nasib baiklah Mat Pearl belum bangun dari tidurnya yang panjang. Kalau tidak mesti dia dah bermaaf-maafan dengan aku, sebab sikapku hari ini tak ubah seperti orang dah buang tabiat. Ya, buang tabiat. Kerana aku terlalu awal ke kelas hari ini. Sepanjang sejarahku di universiti ini, sehinggalah sekarang, inilah hari yang paling awal aku ke kelas. Semuanya kerana Fitri dan Yati. Sebab utamanya adalah kerana aku nak berikan kad ini kepada Yati sebelum mula kelas. Sebelum orang lain ada di kelas. Sebelum orang lain nampak aku memberi sesuatu kepada Yati dan demi menjaga kebrutalanku supaya tidak berganti kejiwangan di mata kawan-kawanku. Kerana Yati memang antara orang terawal yang datang dalam setiap kelas.

Tapi bak kata orang tua-tua, langit tak selalunya cerah. Walaupun pagi ini langit begitu cerah, tapi bagi aku hari ini mendung, bukan setakat mendung tetapi hujan lebat. Yati tidak seawal seperti selalunya. Hari ini Yati adalah orang yang terakhir masuk ke kelas. Masuk selepas pensyarah memulakan kuliah. Rancangan aku tak berjaya. Penat sahaja aku bangun awal hari ini. Tak sempat lagi bersarapan dah tercongok di depan kelas.

Pelan A musnah. Kini aku terpaksa berjumpa Yati selepas kelas. Di depan orang ramai. Di depan kawan-kawan Yati. Oh, tidak. Kalau diikutkan hati kecilku yang mulai bertanduk dan berekor sambil memegang serampang tiga mata, aku buang sahaja kad dari Fitri ini. Nasib Fitri hari ini memang baik. Di atas kepalaku masih ada lingkaran cahaya kebaikan. Demi seorang kawan, aku sanggup merenangi lautan kawan-kawan Yati, juga lautan kawan-kawanku yang sentiasa mencari peluang untuk gelakkan aku.

Selepas kelas aku menunggu Yati di satu sudut yang tidak mempunyai ramai orang. Hati aku terus berdebar-debar laju. Aku pun hairan. Padahal aku cuma menjalankan amanah untuk memberi kad ini kepada Yati. Bukannya aku nak merenung mata Yati dan mengucapkan "Yati, aku cinta padamu". Perasaan tidak selesa aku setiap kali bercakap dengan perempuan kini makin kronik bila aku melihat Yati bersama segerombolan kawannya menuju ke arahku yang keseorangan dan aku rasakan diri aku ini semakin mengecil.

"Yati!" panggilku sekuat hati. Tapi hanya di dalam hati. Tak terluah dari mulut aku ini walau hanya empat abjad yang perlu aku ucapkan. Aku mampu menjerit sekuat Derrick Green atau Steve Tucker, tapi sekarang aku tidak mampu memanggil nama Yati.

Kini Yati telah beberapa tapak meninggalkan aku yang masih berdiri kaku, sejuk seperti patung lilin di muzium Madame Tussaud di London.

Mengenangkan tidak banyak peluang aku untuk bertemu Yati lagi kerana petang ini dan esok aku tidak ada lagi kelas bersama Yati, aku tekad. Aku kumpulkan segala tenaga qiqongku di satu titik organ bernama mulut. Dan tiba-tiba seperti ada semangat besi kersani mengalir dalam tubuh kurus kering aku dan kini aku berjaya mengucapkan satu perkataan yang sukar. Yati!

Yati menoleh. Mata Yati yang ayu itu merenung aku. Memang teramat ayu. Lebih ayu daripada sepasang mata gadis bernama Ayu. Dan mata Yati yang ayu itulah perkara terakhir yang aku ingat sebelum dunia aku berpinar dan persekitaran aku gelap. Aku pitam!